بسم الله الرحمن الرحيم

In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful.

Monday, April 07, 2008

6 April: Pagi yang Gelap...

Hari ini merupakan hari pertama saya sebagai guru ganti Bahasa Melayu.

Tanggungjawab saya yang baru ini merangkumi mengajar Bahasa Melayu kepada 3 sabar, 3 Amanah dan 2 Amanah; Pendidikan Seni kepada 3 Amanah; Pendidikan Jasmani kepada 3 Amanah dan SPPM bagi pelajar lelaki 2 Amanah.

3 Sabar hari ini amat mencabar kesabaran saya. Langsung tidak menghormati guru. Tatkala saya menjejakkan kaki ke dalam kelas, masing-masing membuat bising, tidak duduk di tempat sendiri dan membuatkan saya terkecil hati.

Saya bukanlah guru yang baik. Tetapi saya sedang berusaha.

Saya memberitahu kelas, "Jika berperangai seperti ini esok, muallimah tidak mahu masuk kelas!"

Pengajaran diteruskan.

Memandangkan Raimi dan Ikbal bertugas mengawasi pelajar yang pergi ke kantin, saya mengizinkan mereka keluar 5 minit lebih awal.

Raimi berpaling kepada saya dan tersengih, "Teacher manja."

"Raimi!" Saya katakan kepada budak lelaki yang bertuah itu. Darah saya tersirap. "Esok Raimi jangan masuk kelas!"

Saya tidak manja. Saya sekadar terkecil hati.

Semangat saya sudah goyah. Saya tidak sanggup lagi.

Saya bertemu Muallimah Rahmah di tepi jalan. "Atiqah kalau penat, beritahu terus kepada muallimah."

Peluang terbuka di depan mata, tidak harus dilepaskan!

"Muallimah pun, tak menang tangan juga. Banyak perkara perlu disiapkan. Tetapi pelajar-pelajar di sini boleh hidup lagi." Dengan itu, Muallimah Rahmah mengukir senyuman yang konsisten sejak 11 tahun yang lalu.

Saya tidak sampai hati hendak berhenti mengenangkan muallimah-muallimah yang masih teguh berdiri menghadapi pelajar-pelajar. Saya segera beredar.

Semasa solat Zohor bersendirian, saya berdoa lebih panjang dari biasa. Antara yang didoakan termasuklah, "Ya Allah, berhentikanlah aku seandainya dengan ketiadaanku pelajar-pelajar akan mendapat guru yang lebih baik yang dapat mengajar mereka dengan lebih baik lagi. Ameen."

Ameen.

Kelas bersama 3 Amanah sedikit sebanyak menaikkan semangat saya tatkala melihat keinginan mereka untuk belajar. Saya amat berbangga dengan 3 Amanah, sehinggakan saya tinggal sebentar di kelas untuk membantu Baihaqi dan Ain mengemas kelas.

Keluar dari 3 Amanah, saya terserempak dengan budak bertuah yang sedang makan nasi bersama Aqil di dalam kelas mereka. Saya memalingkan wajah saya melihatkan budak bertuah yang masih tersengih itu.

Saya tidak manja. Saya sekadar terkecil hati.

Saya mendekati kereta BDU 9449 yang diletakkan bertentangan dengan kelas 3 Sabar. Raja berlari keluar mendapatkan saya.

"Teacher, teacher!" Raja tersengih. "Raimi kata teacher busuk!"

"Oh, ye?" Budak bertuah yang mengada. "Dia pun busuk jugak."

Raja berlari menyampaikan pesanan. Budak-budak sungguh.

Hazim berlari keluar seketika kemudian. "Teacher, Raimi kata teacher busuk!"

"Katakan kepada Encik Raimi," Saya menghadap Hazim yang tersengih ibarat kerang busuk. "Dia tu, wangi sangat ke nak kata orang busuk?"

Hazim berlari. Saya menyusulinya.

Berdiri di atas anak tangga, saya memandang Raimi. Dia tersengih sambil menyuapkan nasinya.

Hanya satu perkataan diungkapkan. "Mengada."

Saya beredar.

Saya mengeluarkan kereta merah itu dari petak parkirnya. Raimi berlari keluar dari kelas dan mendekati kereta. Saya menurunkan sedikit tingkap dan menanyakan, "Ada apa, Raimi?"

"Teacher busuk."

"Yelah tu."

Budak bertuah itu memegang handle untuk membuka pintu belakang. Saya ketawa melihat gelagatnya. Nasib baik, pintu sudah dikuncikan.

Yaya mendekati kereta membawa dua gelas air yogurt. Saya tersenyum lantas membukakan kunci pintu belakang. Raimi yang tidak menyedari kehadiran Yaya, pantas ingin membukakan pintu. Yaya terkedu.

Raimi berpaling. Ternampak Yaya. Segera melarikan diri.

Saya ketawa.

Yaya masuk ke dalam kereta dengan muka yang penuh tanda tanya.

"Tu budak kelas Ika." Saya menunjukkan ke arah Raimi yang sedang ketawa di hadapan kereta sambil menunjuk-nunjuk jarinya ke arah plat kereta kepada Aqil.

Budak-budak.

No comments:

Haru & Associates