بسم الله الرحمن الرحيم

In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful.

Wednesday, April 30, 2008

Mendung di Pagi, Ribut di Tengahari

Hari ini amat teruk. Saya tertinggal solat Dhuha.

Masa jaga kelas 3 Sabar untuk peperiksaan Akhlak mereka, mereka siap awal. Setengah jam sahaja sudah siap.

Mereka bermain dalam kelas.

Saya penat. Tak tahu kenapa. Jadi saya senyap dan jeling mereka. Marah apabila dah tak larat dan duduk di atas kerusi.

Raimi bermain dalam kelas. Dia duduk di atas kerusi saya apabila saya bangun mendapatkan pelajar lain. Saya terpaksa duduk di kerusi Hilman.

Seketika kemudia, dia berdiri di atas kerusi saya. Berkasut.

"Haish."

Dia ketawa.

Seketika kemudian, dia bergomol dengan Hussain. Hussain mencampakkan pembaris panjang merahnya ke luar tingkap.

Hussain berlari keluar tanpa izin saya.

"Teacher! Hussain campak pembaris kita! Nak pergi ambil!"

Dan dia berlari keluar sebelum sempat saya berkata apa-apa.

Raja mengekorinya. Sekali lagi, tanpa keizinan saya.

Saya mengerutkan muka. Nakalnya dia hari ni. Saya berpaling kepada Ikbal. "Ikbal tolong jaga kelas."

Saya keluar dan ternampak Hussain berlari masuk membawa pembaris merah Raimi. Saya nak marah. Pembaris dah dibawa masuk, mana tuannya?

Baru sahaja saya nak mencari Raimi dan Raja, mereka berdua muncul. Raimi memegang pembarisnya.

Hussain mencampak pembaris itu semula nampaknya. Haish.

"Masuk kelas." Saya berdiri di anak tangga.

"Teacher, kita nak ke tandas."

Saya mengerutkan muka tanda tidak setuju. Dia tersengih dan beredar.

Bersama Raja.

Dan Atiq. Dan Hussain.

Saya terlalu penat. Tak tahu kenapa.

Muallimah Tengku Hairani nampak mereka keluar. Masalah bertambah.

"Kenapa ni, keluar kelas? Masuk!!" Saya terkedu.

Atiq dan Hussain berlari masuk.

Muallimah masuk ke kelas. "Kenapa ni, semua tak duduk tempat?! Duduk tempat sekarang!"

Mereka berkejaran ke tempat masing-masing.

"Kenapa pengawas pun main di luar? Mana dia Raimi? Raimi! Masuk!"

Raimi segera berlari ke tempat duduknya. Muka terkejut.

"Kenapa main dekat luar? Buat perangai lagi, muallimah pecat Raimi!"

Dan muallimah berpaling keluar dari kelas.

Saya...

Saya malu.

Rasa amat teruk.

Saya terduduk di kerusi saya.

Budak-budak semua duduk di tempat masing-masing, menyalahkan satu sama lain.

Saya penat. Kenapa, ye?




Waktu rehat.

"Raimi, kenapa nakal sangat hari ni?" Suara saya lembut.

"Eh, kita tak nakal." Dia bermain; tidak melihat saya.

"Kenapa keluar ke tandas tak minta izin teacher?"

"Kita minta dah!"

"Teacher tak kata apa-apa pun." Saya menyilangkan lengan di hadapan.

"Dalam hati teacher kata." Dia meniru.

"Dalam hati teacher kata tak boleh."

Dia terdiam. Ikbal yang mendengar turut terdiam.

Raimi tersengih seperti biasa. Terus menendang tanah seorang diri.

"Tengok tu." Saya mengeluh kecil. Sakitnya hati. "Teacher cakap, bukannya Raimi dengar."

Dia diam. Berhenti bermain.

Dan saya berpaling ke dalam kelas untuk mengambil barang-barang saya.




Sejam sudah berlalu. Saya terpaksa masuk ke kelas 3 Sabar menggantikan Muallimah Azila yang cuti sakit.

Saya masih lagi berkecil hati.

Mereka mula bising bertanyakan soalan apabila ternampak saya.

Saya arahkan mereka senyap.

Raja tidak. Saya rampas kertas ujiannya.

Kelas terdiam.

Lima minit kemudian, saya serahkannya kembali.

Sepanjang kelas, Raimi tidak bersuara melainkan bertanyakan soalan kepada saya. Saya tidak menghiraukannya selain dari itu.

Hazim amat nakal. Dia bermain dengan botol air Raja, mengetukkannya di meja dengan kuat.

Dua kali amaran dan dia masih meneruskannya. Saya merampasnya dari tangan budak itu dan mencampakkannya ke luar tingkap.

Ikbal protes. "Teacher, kesian Raja!"

"Bukan salah teacher." Saya berkerut. "Salah Hazim sebab main."

Seketika kemudian, Hazim bangun dari tempatnya dan bermain dengan pembaris merah Raimi, pembaris biru dan pemadam Raja.

Saya melarangnya. Dia tidak mempedulikan.

"Hazim, amaran terakhir. Simpan, duduk."

Dia menggeleng.

Saya pantas mengambil barang-barang tersebut dan mencampakkannya ke luar tingkap.

Raimi menggeleng, tersenyum kecil dan meraut wajahnya.

Saya amat marah dengan Hazim.

"Teacher! Kesian ke Raimi!"

Saya memandang pengawas tersebut. Dia diam. Saya tahu dia tahu saya masih marahkannya.

"Habis tu? Hazim yang main, salah dia. Teacher dah bagi amaran."

Ikbal, Haiqal dan Sadiq terus memprotes. Saya mendiamkan diri. Saya tahu mereka tahu bahawa saya berasa amat geram.

"Selalu kata kesian ke pelajar. Perlu ke kesian ke pelajar yang tak hormat guru?"

Separuh terdiam, tetapi Ikbal terus memprotes.

Masa sudah habis. Saya ingin keluar dari kelas, tetapi guru seterusnya masih belum tiba. Sepuluh minit kemudian, dia muncul.

"Teacher, masa dah habis!" Hazim berkata. "Teacher keluarlah!"

Saya teramat marah. Saya keluar tanpa berkata apa-apa.

Sekembalinya ke bilik guru, mata saya masuk habuk. Berair. Mengalir. Oh tidak.

Tangan disusun di atas meja. Kepala diletakkan. Cermin mata dicabutkan.

Kelas seterusnya dalam setengah jam lagi. Saya tertidur.




Saya terjaga. Jam berdetik 1 petang. Saya mengeluh panjang. Saya terlewat 45 minit. Segera bangun dan membasuh muka.

Berlari ke kelas 2 Amanah.

Adik-adik bising. Mereka terdiam melihat saya.

Saya tidak akan meninggalkan solat Dhuha lagi.

p/s:

Petang itu...

"Atiqah demam ke hari ni?" Muallimah Sakina menyapa.

"Hmm?"

"Nampak penat. Atiqah tidur tadi, selalunya tak pernah." Muallimah Amanina menambah.

"Oh." Saya tersenyum. Kembali ke tempat saya.

2 comments:

Maryam said...

huhu semuanya anak murid akak yang lincah + aktif + tak reti duduk diam. aduhai... rindu la pulak nak berlawan cakap dengan ikbal, raja, hazim dll. :D

Haru said...

raimi tak ke?
akk xajar dia dulu?

Haru & Associates