بسم الله الرحمن الرحيم

In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful.

Saturday, October 29, 2011

Reformasi Telus: Dilema Rakyat Mesir

Giza, 26 Oktober - Satu debat terbuka anjuran The Doha Debates telah berlangsung di Giza membawakan usul sensitif dalam kehangatan sebulan sebelum pilihan raya parlimen Mesir; "Pemerintahan tentera Mesir tidak berminat dengan reformasi yang telus".

Debat kali ini dibarisi panel-panel yang hebat iaitu Dr. Mohamed Fahmy Menza dari parti politik Misr Al Horreyaa dan Heba Mourayef, penyelidik di Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi pihak pencadang dan Jeneral (Bersara) Sameh Seif-Elyazal, bekas diplomat dan Dr. Gamal Abdel Gawad Sultan, pengarah Pusat Penyelidikan Politik dan Strategi Al-Ahram (ACPSS) Kaherah di pihak pembangkang.

Kira-kira 170 orang hadirin, rata-ratanya terdiri daripada golongan elit Mesir, ekspatriat dan mahasiswa dari jurusan masing-masing datang bagi memerhati isu yang sensitif ini termasuklah lima orang mahasiswa perubatan Malaysia. Debat telah bermula pada jam 8.00 malam dan tamat kira-kira 9.30 malam.

Debat yang dilihat hangat dan berinformasi namun kekurangan profesionalisme berbanding yang diperhatikan dalam debat terbuka di Malaysia dek ahli panel yang dilihat menyampuk satu sama lain serta kurang menghormati tuan moderator debat. "Perangai tipikal orang Mesir," komen salah seorang hadirin yang memuji keberanian mereka mendebatkan perkara sesensitif peralihan kuasa oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) ini.

Hadirin dimaklumkan oleh tuan moderator sidang, Tim Sebastian yang juga merupakan Pengerusi The Doha Debates akan kesukaran yang dihadapi dalam penganjuran debat pada kali ini berikutan permit mereka ditolak pihak berkuasa Mesir. Debat kali ini yang sepatutnya berlangsung di Wekalat Bazaraa di El Gamalia terpaksa ditukarkan tempatnya ke Fine Arts Studio, sebuah studio peribadi yang lebih kecil di sudut Giza dengan keseluruhan hadirin separuh daripada kebiasaannya.

Implikasi kepada debat ini menampakkan jurang pemisah pemikiran dalam kalangan rakyat Mesir sendiri, dengan golongan atasan dan elit kelihatan lebih mengetahui kehendak mereka terutamanya dalam aspek pembangunan negara serta halatuju revolusi Mesir berbanding rakyat kelas bawahan yang sekadar mahukan makanan dan pakaian yang mencukupi, kerja yang tetap serta kestabilan yang disediakan pihak tentera Mesir.

Meskipun laporan media mengatakan SCAF mendapat sokongan padu 70% rakyat Mesir, perkara ini dibantah salah seorang hadirin dalam sesi soal jawab kerana "menghormati pihak tentera merupakan semulajadi bagi rakyat (Mesir) sejak mereka mengalahkan Israel pada 1960-an dahulu, tidak bermaksud mereka layak menguruskan negara ini." dan hal ini disokong hadirin yang lain apabila usul ini diterima dengan majoriti 84.7%.

Seorang pelajar Malaysia yang menolak usul ini mengatakan kes yang dibawakan pihak pencadang adalah lemah dan mereka sekadar membawakan poin-poin kecil dalam perdebatan kali ini. "Usul ini diterima kemungkinan besar bukan kerana kualiti perdebatan, sebaliknya kerana hadirin sudahpun mempunyai mindset masing-masing sebelum memenuhi studio ini."

The Doha Debates dibiayai Yayasan Pembangunan Pendidikan, Sains dan Masyarakat Qatar dan menggunapakai format debat yang diperhalusi Kesatuan Oxford yang terkenal. Debat mereka ditayangkan di BBC World News dan boleh diikuti menerusi laman rasmi mereka.

Mahasiswa Malaysia yang mengikuti debat kali ini,
dari kanan: Safwan Roslan, Hazrie Hayat, Adzim Yusoff.
Tiada dalam gambar: Radin Rahmah, Atiqah Hanifah.

Sesudah tamatnya debat, kumpulan mahasiswa Malaysia ini didekati seorang mahasiswa kejuruteraan Universiti Kaherah yang memaklumkan mengenai cadangan penubuhan Kelab Debat di Mesir dan beliau berhajat kepada penglibatan mahasiswa-mahasiswa Malaysia terutamanya bagi perkongsian kemahiran berdebat.

"Saya telah memerhatikan debat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan sangat kagum dengan kemahiran kalian. Seperti yang anda lihat (dalam debat tadi), kami mempunyai maklumat tetapi kurang kemahiran kerana tiada pendedahan kepada debat di sekolah-sekolah kami."

Penglibatan mahasiswa Malaysia dalam Kelab Debat ini dilihat dapat merancakkan lagi perkongsian dan merapatkan lagi hubungan dan jaringan antarabangsa antara mahasiswa Mesir dan Malaysia.


p/s: Reunion BPP in style! ;D

3 comments:

Haru said...

tapi terlambat la compared to web rasmi The Doha Debates dan The Daily News Egypt. http://www.thedailynewsegypt.com/egypt/at-the-doha-debates-little-faith-found-in-military-rulers.html

Haru said...

Wartawan turut berkesempatan mendapatkan ulasan daripada Editor Terulung mahasiswa perubatan Malaysia di Mesir, Ehmad Hamdi bin Naeem.

"Sedar atau tidak, kalian telah memainkan peranan yang baik sebagai seorang warga dunia pada hari tersebut. Ini penglibatan antarabangsa kalian sepanjang menjadi mahasiswa, setuju atau tidak?

Tahniah sekali lagi dengan penglibatan kalian dengan aktiviti-aktiviti sebegini. Teruskan usaha murni anda pada masa2 akan datang.

Nanti dah naik tahun (e)nam ni, (me)nyesal je tak buat itu tak buat ini. Tahun (e)nam sibuk gak kot. Kalau ada lain-lain lagi event yang best-best, roger-roger la I ye."

Ditanya pendapat beliau mengenai usul ini, beliau menyatakan sokongan padunya. "'Permit ditolak' tu satu petanda juga kan."

sufiyyah zulkifli said...

woha! congrats~ :)

Haru & Associates